Selepas Kematian/Bercerai, Adakah Syurga Anak Kembali Di Bawah Telapak Kaki Ibu?

Selepas Kematian/Bercerai, Adakah Syurga Anak Kembali Di Bawah Telapak Kaki Ibu?

Soalan; ustaz, sepertimana yang saya tahu, syurga seorang isteri di bawah telapak kaki suaminya. Tapi ustaz, macam mana pula jikalau suaminya telah meninggal? Adakah syurganya kembali kepada ibu kandungnya?

Jawapan;

Hingga bila-bilapun syurga tetap di bawah tapak kaki ibu-bapa dan keredhaan Tuhan berada pada keredhaan Ibu-bapa.

Sabda Nabi SAW;
الْزَمْهُمَا فَإِنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ أَرْجُلِهِمَا

“Jagalah kedua ibu-bapamu kerana Syurga di bawah kaki kedua mereka” (Al-Mu’jam al-Kabir, at-Thabrani; 2202. Menurut al-Munziri; sanad hadis ini baik. Lihat; at-Targhib wa at-Tarhib, al-Munziri; 3751).

Sabda baginda juga;
رِضا الرَّبِّ فِي رِضا الوَالِدِ وَسُخْطُ الرَّبِّ فِي سُخْطِ الوَالِدِ

“Keredhaan Tuhan berada pada keredhaan Ibu-bapa dan kemurkaan Tuhan berada pada kemurkaan ibu-bapa” (HR at-Tirmizi dan al-Hakim dari ‘Abdullah bin ‘Amru RA. Menurut as-Suyuti; hadis ini adalah soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 4456).

Sama ada bergelar isteri atau tidak, seorang anak tetap wajib berbuat baik dan berbakti kepada ibu dan bapanya sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah dalam al-Quran. Mentaati suami adalah perintah Allah, berbakti kepada ibu dan bapa juga perintah Allah, maka kedua-duanya wajib dilaksanakan semampunya.

Wallahu a’lam.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*